Fakta Sebenar Doula Yang Perlu Para Ibu - Ibu Mengandung Tahu

by - Tuesday, February 26, 2019

Fakta Sebenar Doula Yang Perlu Para Ibu - Ibu Mengandung Tahu

Kecoh baru - baru ini di media sosial apabila rancangan diskusi ilmiah, Analisis yang ditayangkan di TV AlHijrah membincangkan topik berkaitan khidmat doula di Malaysia. Diskusi yang berurasi 1 jam itu telah membuka mata para netizen tentang apa itu Doula dan peranan Doula mengikut tafsiran panel jemputan iaitu Doula Yatt. Namun, banyak komen - komen negatif daripada netizen beranggapan Doula Yatt langsung tidak menjawap soalan dan penerangan beliau kabur serta suka 'jumping all around'. Kami juga terpanggil untuk menonton siaran ulangan tersebut dan cuba mencari fakta yang sebenarnya berkaitan Doula supaya ibu - ibu yang ingin menggunakan khidmat doula mengetahui apakah khidmat yang diperolehi sepanjang menggunakan Doula.

Apa itu Doula?

Perkataan 'doula' adalah berasal dari perkataan Greek yang bermaksud 'hamba wanita'. Golongan ini wujud berabad lamanya dan dikatakan mampu memberi pengalaman positif kepada para ibuan yang hamil dan bakal bersalin. Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi:

1. Emosi

2. Pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas)

3. Fizikal (secara sentuhan seperti urutan)

Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.

Jenis - jenis Doula di Malaysia

Menurut WebMD, secara asasnya, ada 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum.

Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.

Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Namun, seorang doktor ada berkongsi dengan kami tentang isu doula di Malaysia:

“Hospital kerajaan tidak membenarkan orang lain masuk ke bilik bersalin. Malah, sesetengah polisi hospital swasta di Malaysia juga tidak membenarkannya.”

Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan. Malah, menurut WebMD, ada juga Doula Postpartum yang membantu dari segi penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.

Adakah doula ganti suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin?

TIDAK! Doula bukan bertujuan untuk mengganti tugas suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin. Mereka lebih dianggap sebagai sokongan tambahan untuk si ibu. Suami masih perlu memainkan peranan aktif dalam hal penjagaan isteri dan proses bersalin.

Apa beza antara Doula dan Bidan?

Mungkin ramai para ibu di luar sana yang masih keliru tentang perbezaan antara doula dan bidan, atau turut dikenali sebagai midwife.

Berdasarkan penerangan Healthline.com, bidan adalah seorang ahli medikal terlatih dan profesional yang boleh membantu secara langsung ketika proses bersalin.

Manakala, doula pula hanya berfungsi sebagai peneman yang membantu untuk memberi panduan secara lisan tentang cara meneran atau mengurut bagi menenangkan ibu yang sedang bersalin.

Fakta Sebenar Doula Yang Perlu Para Ibu - Ibu Mengandung Tahu

Selepas memahami tentang maksud doula dan tugasnya, mari ketahui beberapa fakta penting lain.

Kami merasakan, para ibu di luar sana perlu mengetahui tentang perkara ini supaya tiada lagi salah faham dan kes tragedi bersalin dapat dielakkan.

  1. Doula tidak boleh memberikan sebarang nasihat atau penjagaan perubatan kepada ibu hamil, terutamanya tentang hal obstetrik.
  2. Doula sama sekali tidak menggantikan tugasan jururawat, doktor dan doktor pakar.
  3. Doula boleh berkongsi informasi tentang cara bersalin/penyusuan/penjagaan bayi tetapi tidak boleh menetapkan cara bersalin bagi pihak ibu.
  4. Doula boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan penasihat ibu (di samping doktor, jururawat dan bidan), tetapi bukanlah penasihat perubatan utama yang tunggal.
  5. Doula sepatutnya tidak menangani kes ibu yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi atau menangani sebarang isu kecemasan ketika bersalin.


[sumber: The Asian Parent]

ANDA MUNGKIN MEMINATI:

0 Comments